Saturday, March 28, 2009

:: food ::

~Nasi Dagang~


Nasi Dagang adalah sejenis makanan tradisional yang sangat terkenal di Terengganu. Masakan ini dibuat dengan memasak nasi biasa dan nasi yang berkanji bersama-sama dan kemudian dimasukkan juga santan di dalamnya. Nasi Dagang di makan dengan lauk khusus yang yang dipanggil gulai ikan dan acar timun. Nasi Dagang sering disediakan oleh masyarakat Terengganu semasa kenduri ataupun ketika sambutan Hari Raya. Menu Nasi Dagang boleh didapati di kebanyakan restoran di sekitar Negeri Terengganu.

~keropok Lekor~
Secara umumnya terdpat 2 jenis Keropok iaitu yang berbentuk 'tube' ataupun silinder yang dipanggil Keropok Lekor dan yang berbentuk seperti kerepek yang di panggil keropok Keping (sliced keropok). Negeri Terengganu sangat sinonim dengan Kerpok Lekor yang banyak dijual di Kampung Losong Kuala Terengganu. Kebanyakan pelancong yang datang Terengganu akan ke Kampung Losong untuk mendapatkan Keropok Lekor yang dijual oleh masyarakat tempatan di situ.
Keropok Lekor diperbuat daripada ikan, tepung dan jga bahan-bahan lain. Keropok Lekor boleh dimakan dua cara samada direbus ataupun yang di goreng. Sekiranya anda tidak gemarkan yang terlalu berbau ikan, adalah lebih baik sekiranya anda memilih Keropok Lekor yang digoreng kerana Keropok Lekor rebus lebih berbau ikan terutamanya apabila sudah sejuk. Namun begitu, sesetengah orang gemarkan Keropok Lekor rebus kerana tidak berminyak.
Keropok Keping juga diperbuat daripada daripada keropok yang berbentuk tiub dan kemudian dipotong kepada bentuk kepingan yang nipis. Kemudian keropok tersebut aka dijemur di bawah matahari supaya boleh di simpan lama. Keropok ini perlu digoreng terlebih dahulu sebelum dimakan. Keropok Keping juga sedap dimakan bersendirian ataupun bersama-sama sos cili.

~sata~

Sata juga merupakan antara makanan tradisional yang terkenal di Terengganu. Sata adalah sejenis makanan yang berasaskan isi ikan laut yang digaulkan bersama dengan rempah, di bungkus di dalam daun pisang dan kemudian di panggang di atas dapur arang kayu. Sata adalah manis dan mempunyai bau aroma bungkusan daun pisang yang membuatkan ianya sangat sedap untuk dimakan.

~Laksam~


Laksam juga merupakan salah satu makanan yang sangat digemari oleh masyarakat Terengganu. Ia adalah sejenis makanan yang ringkas dan diperbuat daripada tepung gandum dan tepung beras, dan kemudian doh nya akan distim. Kuahnya yang berwarna putih pula diperbuat daripada isi ikan yang direbus, puri dan dicampurkan bersama-sama dengan santan kelapa. Laksam juga dimakan bersama sedikit ulam dan juga sedikit sambal.

Sunday, March 22, 2009

:: heritage ::

~Tasik Kenyir~

Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar. Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia.
Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini
termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang. Ia turut menempatkan lebih 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies tumbuhan, 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.
Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah.Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf. Tasik Kenyir juga pintu masuk ke Taman Negara melalui laluan Tanjung Mentong.

~Air Terjun Sekayu~
Hutan lipur sekayu atau lebih dikenali juga dengan air terjun sekayu terletak di dalam kawasan hutan simpanan hulu terengganu tambahan. Ianya berada di dalam daerah hulu terengganu, 16 kilometer dari pekan kuala berang dan 56 kilometer dari bandar kuala terengganu. Hutan lipur tersebut mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar. Keunikan hutan lipur ini terdapat sebuah air terjun 3 peringkat yang cantik dan mempersonakan dan ianya merupakan tarikan utama kepada pengunjung ke sini. Air sungainya yang jernih, dingin dan menyegarkan dikelilingi pula oleh keindahan alam semulajadi, sangat sesuai untuk tujuan beristirehat dan berekreasi.

Hutan Lipur Sekayu sememangnya terkenal dengan buminya yang kaya dengan pelbagai khazanah semulajadi seperti spesies flora dan fauna yang masih terpelihara. Pelbagai spesies pokok termasuk yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi ada terdapat di sini dan mudah dikenali pada pokok yang telah ditandai. Di hutan lipur ini juga terdapat kawasan perkelahan yang luas yang terletak di
sepanjang sungai sesuai untuk keluarga berkelah. Di sini juga terdapat banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi.

:: shopping ::

~Pasar Payang~

Pasar Pusat yang dikenali sebagai Pasar Payang terletak di tepi Sungai Terengganu dan merupakan salah sebuah destinasi pelancong yang paling terkenal di Kuala Terengganu. Pasar yang terletak di dalam sebuah bangunan moden ini menawarkan pelbagai jenis hasil kraftangan tradisional seperti batik, kain sutera, songket, kain brocade and barangan logam serta sayur-sayuran yang segar. Pasar Payang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu dan mudah untuk ke sini walau di mana anda menginap.
Pelawat yang berkunjung ke pasar ini tentu seronok membeli barangan tempatan di sini pada harga yang murah. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk memerhati dan memahami budaya di sini sambil memerhati penduduk tempatan sibuk membeli-belah di sini.

Sewaktu di sini, cubalah menjamu selera dengan hidangan tempatan istimewa - Keropok Lekor - keropok rangup yang dibuat dari campuran ikan dan tepung sagu. Keropok ini lazimnya dimakan bersama sos cili. Sungguh enak!

Thursday, March 19, 2009

:: islands ::

Terengganu merupakan sebuah Bandaraya Pesisir Pantai yang terkenal dengan keindahan laut dan pulau-pulau yang indah dan menjadi tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara datang berkunjung ke negeri ini. Antara pulau-pulau yang terkenal di Terengganu ialah:

~ Pulau Kapas ~
Pulau Kapas yang terletak kira-kria 6km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang tersohor dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif. Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda : menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.



~Pulau Perhentian~
Pulau Perhentian sememangya destinasi yang mesti dikunjungi. Pulau ini terletak 21km dari pinggir pantai Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian yang dilitupi hutan yang bersih, pepohon kelapa, pantai yang putih dengan pasir yang halus dan dikelilingi air laut yang biru dan jernih merupakan tempat persinggahan nelayan, burung-burung yang berhijrah dan pelancong yang datang bercuti di sini.
Lokasinya di pinggiran kawasan Taman Laut Pulau Redang bermakna perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat untuk aktiviti menyelam skuba dan snokel. Lawatan bot ke pulau-pulau boleh diaturkan dan bot juga boleh disewa oleh pelancong yang ingin meneroka teluk-teluk yang terselindung. Pelancong yang gemarkan aktiviti meluncur papan air, belayar, berkenu dan memancing laut-dalam juga mesti berkunjung ke pulau ini. Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih sesuai untuk pelancong yang gemar aktiviti lasak. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan tempat penginapan dan makanan yang murah. Sebaliknya, Pulau Perhentian Besar, lebih membangun dan menawarkan kemudahan yang lebih selesa dan sempurna. Walau bagaimanapun, kemudahan calet, asrama dan tapak perkhemahan boleh di dapati di kedua-dua buah pulau ini.



~Pulau Redang~
Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan. Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.
Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya. Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau. Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.

Thursday, March 12, 2009

:: newest in Terengganu ::

Apakah yang terbaru & menarik di Terengganu? jom kita tengok...

Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.
Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu. Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.

Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon iaitu Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam. Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam dan mempamerkan keagungan kesenian kebudayaan Islam Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia. Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India). Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

Tuesday, March 10, 2009

:: popular trademark ::

Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai masjid terapung dibina di atas pelantar terapung, memberikan ia sudut unik. Ia terletak di sungai Terengganu dan salah satu senibina moden hasil salah seorang putera DiRaja Terengganu. Masjid putih berkilauan turut menjadi ikon baru dalam senibina Islam di negara ini. Malah, pembinaan masjid ini turut memuatkan ciri setempat dengan penggunaan batu marmar, seramik dan bomanit. Pembinaan masjid ini sebenarnya adalah inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Masjid ini dinamakan sempena ibunya, Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja.Kedamaian masjid ini turut terserlah dengan keindahan Laut China Selatan, menjadikan ia suatu destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu.Masjid ini terletak di Teluk Ibai, hanya 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu dan berdekatan dengan kawasan pantai Terengganu.


Satu lagi tempat yang menjadi 'trademark' terkenal di Terengganu ialah Rantau Abang yang terletak 60km ke selatan bandar Kuala Terengganu. Di sini, pelawat boleh menunggu dari tengah malam hingga ke subuh bagi melihat penyu belimbing yang besar naik ke darat untuk bertelur. Penyu-penyu ini merangkak perlahan-lahan di pasir putih untuk bertelur, meninggalkan gambaran yang tidak mungkin dapat dilupakan pelawat. Penyu raksasa ini boleh membesar sehingga 2.5m panjang dan kadangkala seberat lebih dari 375kg. Rantau Abang ialah salah satu dari enam lokasi di dunia yang dikunjungi oleh penyu-penyu ini dari bulan Mei hingga September. Penyu dan telur penyu ini adalah dilindungi. Telur penyu dikesan dan dialihkan oleh ahli sains ke pusat inkubator di mana persekitarannya akan dikawal bagi menentukan jantina penyu yang menetas sebagai usaha agar spesis ini terus wujud. Kunjungi Pusat Maklumat Penyu di sini bagi mempelajari lebih lanjut mengenai haiwan ini dan mengetahui tempat terbaik untuk melihat penyu bertelur.

Thursday, March 5, 2009

:: the history ::

BATU BERSURAT
Negeri Terengganu Darul Iman adalah antara negeri-negeri di Malaysia yang memiliki kisah-kisah sejarah yang menarik. Menurut sejarawan, Negeri Terengganu telah dibuka sebelum munculnya Negeri Melaka. Antara kisah-kisah sejarah yang termasyhur di negeri ini ialah kisah Batu Bersurat di Kuala Berang, sejarah Hj. Abd. Rahman Limbong, Bukit Puteri dan lain-lain lagi. Sejarah-sejarah ini sudah tentunya melambangkan keistimewaa negeri Terengganu yang kaya dengan budaya yang menarik dan unik. Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.

BUKIT PUTERI
Satu lagi peninggalan sejarah yang dianggap begitu menarik di negeri ini ialah Bukit Puteri yang terletak di pinggir kota Darul-Iman. Kesan-kesan peninggalannya jelas dapat dilihat hingga sekarang. Bukit Puteri mungkin menjadi masyhur jika cerita atau kajian mengenainya diberikan publisiti yang lebih meluas. Lokasinya yang terletak di dalam kesibukan bandar menjadikan Bukit Puteri tampak hebat jika dibandingkan dengan tempat lain hinggakan bagi sesetengah pencinta sejarah, mereka berpendapat Bukit Puteri adalah lambang sejarah negeri. Bukit yang tingginya lebih kurang 200 meter ini letaknya berhampiran dengan Istana Maziah ( iaitu sebuah istana yang dibina bagi menggantikan Istana Hijau di kaki bukit yang telah terbakar pada tahun 1882 ). Luas kawasan bukit ini dianggarkan kira-kira 0.688 hektar. Kajian sejarah menunjukkan bahawa Bukit Puteri ini sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1.

ISTANA MAZIAH
Dibina dengan senibina Perancis, Istana DiRaja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi DiRaja atau majlis keraian rasmi negeri. Terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu, istana ini menjadi kebangaan rakyat negeri Terengganu. Ia masih digunakan untuk acara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri. Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac, 1870. Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat), dan Dato’ Mata-Mata. Bekalan kayu untuk membina istana datang dari Dungun dan diselia oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Bekalan batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu. Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979). Tambahan turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.