Thursday, March 5, 2009

:: the history ::

BATU BERSURAT
Negeri Terengganu Darul Iman adalah antara negeri-negeri di Malaysia yang memiliki kisah-kisah sejarah yang menarik. Menurut sejarawan, Negeri Terengganu telah dibuka sebelum munculnya Negeri Melaka. Antara kisah-kisah sejarah yang termasyhur di negeri ini ialah kisah Batu Bersurat di Kuala Berang, sejarah Hj. Abd. Rahman Limbong, Bukit Puteri dan lain-lain lagi. Sejarah-sejarah ini sudah tentunya melambangkan keistimewaa negeri Terengganu yang kaya dengan budaya yang menarik dan unik. Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.

BUKIT PUTERI
Satu lagi peninggalan sejarah yang dianggap begitu menarik di negeri ini ialah Bukit Puteri yang terletak di pinggir kota Darul-Iman. Kesan-kesan peninggalannya jelas dapat dilihat hingga sekarang. Bukit Puteri mungkin menjadi masyhur jika cerita atau kajian mengenainya diberikan publisiti yang lebih meluas. Lokasinya yang terletak di dalam kesibukan bandar menjadikan Bukit Puteri tampak hebat jika dibandingkan dengan tempat lain hinggakan bagi sesetengah pencinta sejarah, mereka berpendapat Bukit Puteri adalah lambang sejarah negeri. Bukit yang tingginya lebih kurang 200 meter ini letaknya berhampiran dengan Istana Maziah ( iaitu sebuah istana yang dibina bagi menggantikan Istana Hijau di kaki bukit yang telah terbakar pada tahun 1882 ). Luas kawasan bukit ini dianggarkan kira-kira 0.688 hektar. Kajian sejarah menunjukkan bahawa Bukit Puteri ini sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1.

ISTANA MAZIAH
Dibina dengan senibina Perancis, Istana DiRaja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi DiRaja atau majlis keraian rasmi negeri. Terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu, istana ini menjadi kebangaan rakyat negeri Terengganu. Ia masih digunakan untuk acara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri. Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac, 1870. Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat), dan Dato’ Mata-Mata. Bekalan kayu untuk membina istana datang dari Dungun dan diselia oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Bekalan batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu. Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979). Tambahan turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.

No comments:

Post a Comment