Thursday, March 19, 2009

:: islands ::

Terengganu merupakan sebuah Bandaraya Pesisir Pantai yang terkenal dengan keindahan laut dan pulau-pulau yang indah dan menjadi tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara datang berkunjung ke negeri ini. Antara pulau-pulau yang terkenal di Terengganu ialah:

~ Pulau Kapas ~
Pulau Kapas yang terletak kira-kria 6km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang tersohor dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif. Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda : menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.



~Pulau Perhentian~
Pulau Perhentian sememangya destinasi yang mesti dikunjungi. Pulau ini terletak 21km dari pinggir pantai Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian yang dilitupi hutan yang bersih, pepohon kelapa, pantai yang putih dengan pasir yang halus dan dikelilingi air laut yang biru dan jernih merupakan tempat persinggahan nelayan, burung-burung yang berhijrah dan pelancong yang datang bercuti di sini.
Lokasinya di pinggiran kawasan Taman Laut Pulau Redang bermakna perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat untuk aktiviti menyelam skuba dan snokel. Lawatan bot ke pulau-pulau boleh diaturkan dan bot juga boleh disewa oleh pelancong yang ingin meneroka teluk-teluk yang terselindung. Pelancong yang gemarkan aktiviti meluncur papan air, belayar, berkenu dan memancing laut-dalam juga mesti berkunjung ke pulau ini. Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih sesuai untuk pelancong yang gemar aktiviti lasak. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan tempat penginapan dan makanan yang murah. Sebaliknya, Pulau Perhentian Besar, lebih membangun dan menawarkan kemudahan yang lebih selesa dan sempurna. Walau bagaimanapun, kemudahan calet, asrama dan tapak perkhemahan boleh di dapati di kedua-dua buah pulau ini.



~Pulau Redang~
Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan. Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.
Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya. Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau. Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.

No comments:

Post a Comment